Sunday, October 2, 2011

2 Oktober 2011

2 Oktober 2011.

Begitu cepat dan pantas masa berlalu. Sudah lebih setahun hidup sebagai pensyarah dan sudah lebih 4 bulan hidup sebagai suami. Pantas, tanpa disedari masa berlalu meninggalkan kita. Kehidupan semestinya berubah, daripada pelajar menjadi pensyarah dan daripada bujang menjadi suami orang. Semuanya berubah menyeluruh.

Sejak - sejak akhir ini, kesibukan memang menjadi rutin kehidupan. Sibuk menjalankan tugas berkerjaya dan tugas berkeluarga. Sampai kadang-kadang masa untuk diri sendiri terbuang begitu sahaja. Tapi, apa nak kisah, kalau hati lapang untuk laksanakannya, semuanya akan jadi sukarela. Tapi sebenarnya, sibuk itu bagus. Bagus untuk melupakan masalah. Bagus untuk membuat kita untuk tidak berfikir bukan -bukan dan juga bagus untuk kita lupakan segelintir manusia yang banyak membunuh semangat kita.

Dalam kesibukan tu, Alhamdulillah, dapat juga berjumpa dengan orang yang banyak memberi semangat. Kadang-kadang kita dapat bertukar pendapat, berkongsi masalah yang sama dihadapi. Belajar daripada pengalaman mereka dan belajar untuk menerima hakikat kehidupan. Mereka-mereka seperti ini banyak menaikkan semangat untuk meneruskan kehidupan. Biasalah hidup...., di pertengahan dugaan, perasaan putus asa dan putus harapan memang akan ada. Perasaan itu akan lahir walaupun secara sedikit demi sedikit. Sedih, hilang punca dan kadang-kadang melangkah pun rasanya susah. Jadi, orang yang banyak memberi semangat ni memang penting. Mendorong kita kembali ke jalan yang betul untuk meneruskan kehidupan.

Rezeki itu anugerah ALLAH. DIA berhak untuk beri kepada sesiapa sahaja. Selagi sesuatu yang kita inginkan itu belum diizinkan ALLAH, kita takkan dapat apa yang kita inginkan. Itulah hakikatnya. Namun, ramai orang yang tidak faham. Asyik bertanya dan menghina aku dengan soalan yang memang bukan aku yang boleh tentukan jawapannya. Sudah puas dan sudah jemu, kadang malas untuk melayan. Sabar....

Rasa sakit hati yang aku pendamkan terhadap seseorang selama ini ingin aku buang jauh-jauh. Sakit hati itu sungguh menyeksakan jiwa aku sehingga sekarang. Mungkin benar kata-kata yang pernah aku dengar, maafkan kesilapan dan kesalahan orang lain, dan anda akan merasa bahagia. Aku sekarang tengah berusaha untuk memaafkan. Semoga aku diberi kekuatan untuk memaafkan orang itu. Dan semoga aku diberikan kebahagiaan yang dicari.

Aku yakin setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. ALLAH maha adil dalam ketentuan-Nya. Menunggu hikmah-Nya memerlukan kesabaran. Semoga aku tidak berputus asa dan berputus harap dengan petolongan-Nya. Teruskan berdoa dan berdoa. Mungkin ALLAH bagi ruang dan masa pada aku sekarang untuk berbakti pada keluarga, menggunakan sepenuhnya masa, tenaga dan rezeki yang untuk membantu dan dikongsi bersama mereka.

Terima kasih untuk semua yang banyak menyokong terutamanya isteri mak, ayah, bonda mertua dan keluarga. Juga untuk anak-anak buah yang sentiasa memberikan rasa bahagia.

Semoga aku terus diberi kekuatan. "Hiduplah untuk memberi sebanyaknya, bukan menerima sebanyaknya".. kadang-kadang aku terlupa...