Saturday, November 26, 2011

Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah

Doa Akhir Tahun

“Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Hikmah dan kebaikan Doa Akhir tahun ini adalah kita akan cuba mengingati segala amalan2,perbuatan kita baik yang membawa ke arah kebaikan mahupun yang membawa ke arah keburukan. Dengan Doa Akhir tahun ini kita akan berdoa untuk berhijrah ke arah kebaikan dari sesuatu yang telah kita lakukan sebelumnya. Jadikanlah tahun berikutnya lebih baik dari tahun sebelumnya dan memohon keampunan kepada Allah dan memohon semoga Allah menutup segala keaiban yang telah kita lakukan.

Doa Awal tahun Hijrah

”Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.

Hikmah dan kebaikan Doa Awal tahun Hijrah ini kita dapat memasang azam dan memperbaharui azam untuk melakukan segala amalan kebaikan….

Sunday, November 20, 2011

Doakan Kanak-Kanak Ini

Kawan-kawan. Doakan kanak-kanak ini.

Batrisya, anak saudara saya berumur 9 Tahun. Telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dengan keluarganya. Alhamdulillah 6 orang yang lain lagi selamat. Cuma, Batrisya sahaja yang dimasukkan ke Hospital Selayang sebab kaki patah. Telah melalui operation demi operation, tapi masih dalam prosess penyembuhan.





Pakcik doakan Batrisya cepat sembuh. Doakan ye kawan-kawan. InsyaALLAH.

Jalan -Jalan Kedah

Salam.

Cuti deepavali lepas, dapat jalan-jalan ke Kedah bersama dengan isteri dan mak mertua. Dapat melawat dan berkenalan dengan saudara-mara baru. Sangat seronok dapat luang masa.

Kedah banyak tempat best dan lawa-lawa. Rugi tak sempat ambil gambar. Apa-apapun, Alhamdulillah, dapat tenangkan fikiran. Itu sebenarnya matlamat utama. Dan yang paling penting, dapat kenal ramai saudara-mara baru. Banyak pengalaman baru.

Harap-harap dapat jalan-jalan Kedah lagi dan dapat snap gambar. InsyaALLAH.

Sunday, October 2, 2011

2 Oktober 2011

2 Oktober 2011.

Begitu cepat dan pantas masa berlalu. Sudah lebih setahun hidup sebagai pensyarah dan sudah lebih 4 bulan hidup sebagai suami. Pantas, tanpa disedari masa berlalu meninggalkan kita. Kehidupan semestinya berubah, daripada pelajar menjadi pensyarah dan daripada bujang menjadi suami orang. Semuanya berubah menyeluruh.

Sejak - sejak akhir ini, kesibukan memang menjadi rutin kehidupan. Sibuk menjalankan tugas berkerjaya dan tugas berkeluarga. Sampai kadang-kadang masa untuk diri sendiri terbuang begitu sahaja. Tapi, apa nak kisah, kalau hati lapang untuk laksanakannya, semuanya akan jadi sukarela. Tapi sebenarnya, sibuk itu bagus. Bagus untuk melupakan masalah. Bagus untuk membuat kita untuk tidak berfikir bukan -bukan dan juga bagus untuk kita lupakan segelintir manusia yang banyak membunuh semangat kita.

Dalam kesibukan tu, Alhamdulillah, dapat juga berjumpa dengan orang yang banyak memberi semangat. Kadang-kadang kita dapat bertukar pendapat, berkongsi masalah yang sama dihadapi. Belajar daripada pengalaman mereka dan belajar untuk menerima hakikat kehidupan. Mereka-mereka seperti ini banyak menaikkan semangat untuk meneruskan kehidupan. Biasalah hidup...., di pertengahan dugaan, perasaan putus asa dan putus harapan memang akan ada. Perasaan itu akan lahir walaupun secara sedikit demi sedikit. Sedih, hilang punca dan kadang-kadang melangkah pun rasanya susah. Jadi, orang yang banyak memberi semangat ni memang penting. Mendorong kita kembali ke jalan yang betul untuk meneruskan kehidupan.

Rezeki itu anugerah ALLAH. DIA berhak untuk beri kepada sesiapa sahaja. Selagi sesuatu yang kita inginkan itu belum diizinkan ALLAH, kita takkan dapat apa yang kita inginkan. Itulah hakikatnya. Namun, ramai orang yang tidak faham. Asyik bertanya dan menghina aku dengan soalan yang memang bukan aku yang boleh tentukan jawapannya. Sudah puas dan sudah jemu, kadang malas untuk melayan. Sabar....

Rasa sakit hati yang aku pendamkan terhadap seseorang selama ini ingin aku buang jauh-jauh. Sakit hati itu sungguh menyeksakan jiwa aku sehingga sekarang. Mungkin benar kata-kata yang pernah aku dengar, maafkan kesilapan dan kesalahan orang lain, dan anda akan merasa bahagia. Aku sekarang tengah berusaha untuk memaafkan. Semoga aku diberi kekuatan untuk memaafkan orang itu. Dan semoga aku diberikan kebahagiaan yang dicari.

Aku yakin setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. ALLAH maha adil dalam ketentuan-Nya. Menunggu hikmah-Nya memerlukan kesabaran. Semoga aku tidak berputus asa dan berputus harap dengan petolongan-Nya. Teruskan berdoa dan berdoa. Mungkin ALLAH bagi ruang dan masa pada aku sekarang untuk berbakti pada keluarga, menggunakan sepenuhnya masa, tenaga dan rezeki yang untuk membantu dan dikongsi bersama mereka.

Terima kasih untuk semua yang banyak menyokong terutamanya isteri mak, ayah, bonda mertua dan keluarga. Juga untuk anak-anak buah yang sentiasa memberikan rasa bahagia.

Semoga aku terus diberi kekuatan. "Hiduplah untuk memberi sebanyaknya, bukan menerima sebanyaknya".. kadang-kadang aku terlupa...

Thursday, September 29, 2011

Merawat Kesedihan

“Malam adalah masa untuk bersedih..” Tulisan ini membuatkan saya terfikir.

Adakah hari-hari kita harus dilalui bersama perasaan sedih berpanjangan? Apakah takdir ini terbeban ke atas kita sepanjang masa?

Saya yakin, setiap insan di dunia ini pasti pernah merasainya. Kita sedih kerana diperlakukan sesuatu tanpa kerelaan, ditengking, dimarahi, diejek dan dikeji, dihinakan, atau mendapat sesuatu musibah tak dijangka misalnya kematian, kesusahan, kegagalan hidup, sukar mendapat jodoh, kesakitan serta pelbagai rona-rona rasa yang lainnya. Semangat terus lumpuh ke tahap terkebawah.

Ketika saat itu juga, hati kita menjadi rawan berpanjangan, emosi meruntun hiba, sedih bersangatan. Lalu termenung sendiri sambil menyeka air mata yang berjujuran. Air yang dihirup tidak lagi dirasa lazat, tetapi umpama duri-duri yang bercerucuk di kerongkongan. Diri lantas dipersalahkan, bahkan rasa sesal menjadi manusia bermain-main di kotak minda.

Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”

“Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Bagi yang tidak kuat pegangan agamanya, lemah imannya, maka jalan terakhir ialah dengan cara bunuh diri. Nauzubillahhi minzalik. Pada hematnya, cara ini mampu mengurangkan tekanan yang dialami.

Tidak! Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Bukan caranya kita bersedih lalu berusaha menjauh diri dari Ilahi atau menempah pintu-pintu neraka.

ADA PENAWARNYA

Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Justeru, indahnya Islam kerana di sana letaknya tegahan tetapi ada suruhan (bimbingan), adanya penyakit turut bersamanya penawar.

Kerana itu sahabat Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka langsung mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang membisikkan kenistaan.

Ayuh! Usahlah terus bersedih, bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak keseorangan.

Di bawah ini saya selitkan doa merawat kesedihan, cubalah baca dan amalkan.

Terdapat di dalam musnad Imam Ahmad dan sohih Ibnu Hibban, daripada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:


“Tidaklah sama sekali berkata mana-mana hamba apabila dia dilanda kebimbangan (tentang perkara akan datang) atau kesedihan (merujuk perkara yang telah berlalu); (dengan cara berdoa sebagaimana berikut):

Maksud doa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku hamba-Mu, juga anak hamba lelaki-Mu (ayahku) dan anak hamba perempuan-Mu (ibuku). Dahiku berada di tangan-Mu (Engkau bebas mengawal dan menentukan arahnya; kebaikan atau keburukan yang ditujunya). Sudah berlalu pada diriku keputusan-Mu. Sememangnya adil buat diriku (apa jua) ketentuan-Mu.

(Justeru), aku memohon kepada-Mu dengan semua nama yang selayaknya buat-Mu; yang Engkau namakan dengannya diri-Mu, atau yang Engkau turunkannya dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada salah seorang daripada makhluk-Mu (Nabi Muhammad SAW) atau yang Engkau (sengaja) sembunyikan tentangnya di alam ghaib di sisi-Mu..

Supaya Engkau jadikan al-Quran sebagai musim bunga (berasa tenteram dalam) hatiku, cahaya di dadaku, keluar daripada (belenggu) kesedihan, dan penghilang kebimbanganku.”

Sambungan hadis Baginda SAW:

“Melainkan pasti Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung menghilangkan kebimbangannya dan menggantikan buatnya tempat kesedihan tersebut dengan kegembiraan.”

Mereka (para sahabat r.a) berkata: “Wahai Rasulullah! Semestinya ke atas kami mempelajari bilah-bilah kata ini.”

Nabi menegaskan: “Benar! (Bukan setakat kamu; bahkan) semestinya kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”

Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan qadarnya – hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang, kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan. Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.

Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita. Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT.


La tansa zikrullah.


Nah, lekas hilangkan airmata dukamu beriringan penawar tersedia!

Dipetik dari:
--Faridrashidi.Com@2010--

Friday, August 19, 2011

Jiwa

Tiada ada idea untuk menulis. Tapi banyak yang ingin dikongsikan.

Sesungguhnya, parut di hati ini mencalarkan semuanya. Musnah. Kosong. Aku sudah tiada jiwa.

Cukuplah wahai sang manusia, menyeksa hatiku ini. Berilah peluang aku dan isteriku merasa nikmat hidup.

Ya ALLAH , berilah kami kekuatan.

Monday, July 4, 2011

Hidup Memang Payah

Hidup Memang Payah - Yasin

Layarkan kehidupan
ke destinasi pilihan
nikmatilah keindahan
yang tak dijanjikan.

Hayatilah keperitan
baru bisa mengertikan
kemanasian, kebesaran
rahsia kebenaran.

Yang tinggal kita mencari
hidupnya tanda misteri
kita tafsirkan
sukar diertikan

Hidup ini memang payah
kadang gelap kadang cerah
hati ini jika resah
siksa jiwa takkan sudah

Hidup ini memang payah
kuterima kuberserah
hati ini bila pasrah
yang susah bisa mudah

Bersama yang susah
adanya mudah
bersama yang susah
mudah

Arus deras kehidupan
dikejar dan ditinggalkan
terima yang ditakdirkan
tulus kesyukuran

Dalam jiwa perperangan
duka resah sendirian
kita dalam pengorbanan
pinta keampunaan.

Yang tinggal kita mencari
hidupanya tanda misteri
kita tafsirkan
sukar diertikan

Monday, May 23, 2011

Sabar Itu Indah

Sabar Itu Indah

Jika langit hendak runtuh
Bagaimana jari hendak menahannya
Kita hamba yang dibatasi takdir
Disitulah noktah segala tadbir

Hitungkan laut kesyukuran
Di pinggir pantai kesabaran
Carilah hikmah tuailah iktibar
Sabarlah dalam bersabar

Betapa pun terasa pahit
Janganlah hendaknya tercalar tauhid
Sesungguhnya sabar itu indah
Didikan terus daripada ALLAH

Ujian itu penebus dosa
Meningkatkan darjat
Menambahkan pahala
Bingkisan tazkirah daripada yang Esa
Bagai ombak
Penghias samudera.


Sesungguhnya ,ilmu kita terbatas.Ilmu ALLAH Maha Luas. Jika sabar itu tidak indah,bukan kerana ia tidak indah, tetapi mata hati kitalah yang kabur untuk melihat keindahan itu.

P/s: Dengan menghampiri saat-saat itu, pelbagai dugaan menimpa. Sesungguhnya sabar itu indah, penghapus dosa dan insyaALLAH, akan mendapat berita gembira dengan rahmat dan petunjuk dari ALLAH. InsyaALLAH.

Pahrol Muhamad Judi, Solusi, Isu No 31

Sunday, March 20, 2011

Kerana Mereka

Terima kasih kepada mereka,
Walaupun hati dalam kegelisahan,
Hadirnya mereka,
Memberi sedikit kelegaan,
Membawa semangat kehidupan.

Kadang-kadang merekalah yang mengguris perasaan,
Namun, mereka jugalah yang menghadiahkan kembali senyuman,
Ya ALLAH, indahnya percaturan,
Melengkapkan roda kehidupan...

Sunday, March 13, 2011

13 March 2011

13March 2011.....


Mengecewakan orang lain,

Kesannya,

Lebih teruk dari dikecewakan,

Hancur luluh hati,

Hanya Tuhan sahaja mengerti...



Maaf. Semoga dirimu tabah di hari ini terutamanya,

Menghadapai realiti, menahan hati membengkak...



Dan hari hari mendatang,

Dengan cabaran dan dugaan,

Hadapilah dengan tenang,

Yang hikmahnya,

Menjanjikan seribu kebahagiaan.

Saturday, January 22, 2011

Terlalu Cepat Aku Lupa


"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)

"Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)


Kekadang aku lupa dengan semua itu. Terlalu cepat aku lupa. Masa yang menentukan semuanya. Biar semua itu berlalu, akan ada sinar di hujung jalan. Bersabar, bersabar dan terus bersabar. Semoga aku lepas dari semua ini, satu hari nanti. Semoga aku mampu melalui detik dari demi hari dengan hati yang redha. Sentiasalah berdoa kerana....

"Bila ALLAH makbulkan doamu, maka dia menyayangimu, bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu, bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu terbaik untukmu. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada pada ALLAH dalam apa jua keadaan, kerana kasih sayang ALLAH itu mendahului kemurkaanNYA.."


Sunday, January 9, 2011

090111

Hening 4.00 Pagi..

Terjaga dari tidur kerana masih memikirkan hal itu. Betapa kesan dari perkara itu amat membataskan rutin kehidupan seharian.

Perjalanan kehidupan masih lagi jauh. Ujian & dugaan kali ini agak menguji kehidupan dan meragut kegembiraan.

Kita hanya mampu merancang & ALLAH yang akan tentukan. ALLAH tidak penah sesekali memberikan ujian andai kita tidak mampu mengatasinya. Hanya ALLAH tahu yang terbaik untuk kita.

Semoga kita tabah dalam menempuh hari hari yang mendatang. Semoga pengorbanan kita untuk kebahagiaan orang lain ini memberikan sesuatu untuk kita pada masa hadapan. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. InsyaALLAH.

Wahai hati. Redhalah....

Saturday, January 1, 2011

2010 & 2011

2010.. Telah berlalu.

Rentetan perjalanan 2010 yang penuh dengan warna-warna kehidupan. Sangat cantik liku-liku kehidupan yang diaturkan oleh Yang Maha Kuasa ini. Bermula dengan dugaan, di pertengahannya penuh dengan nikmat kurniaan dan diakhiri dengan sedikit lagi dugaan...

March - Jun 2010

"Penyakit" yang telah melanda diri aku pada ketika itu amat memeritkan. Semuanya seolah-olah meragut segala kegembiraan dalam diri aku. Seksa hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hampir setiap hari, aku hampir saja berputus asa dengan kehidupan.Tiada siapa yang tahu. Melangkah dengan berbekalkan kekuatan dalam diri. Terima kasih kepada kawan-kawan yang banyak memberi sokongan walaupun tanpa disedari. Alhamdulilah, semuanya telah pulih seperti biasa sekarang. Syukur, segala penyakit dalaman itu telah hilang dan aku mampu lagi meneruskan kehidupan tanpa sebarang kebimbangan. Syukur. Biarlah segala keperitan itu menjadi suatu memori dan pengalaman kehidupan.

Jun 2010

Telah berjaya menamatkan Master Kejuruteraan (Kimia) dari UKM. Alhamdulillah, dengan keadaan diri yang penuh liku-liku, berjaya juga menyiapkan Master dalam masa setahun. Inilah hikmah atas segala dugaan yang ALLAH berikan. Alhamdulillah.

0gos 2010

Memulakan kerjaya sebagai seorang Pensyarah. Salah satu permulaan dalam proses kehidupan sebenar.

Disember 2010
Permulaan sebuah ikatan. Alhamdulillah.Semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan. InsyaALLAH.

2010 telah berakhir. Namun, berakhirnya 2010 dengan perasaan yang sedikit terkilan. Ingatkan berakhir dengan keceriaan, tapi sedikit dugaan berlaku. Tapi, itulah kehidupan, setiap apa yang telah dirancang bukan semuanya akan terlaksana dengan lancar. Pasti ada cabarannya. Cabaran tersebut mungkin akan menguatkan kita dan sebaliknya mungkin juga boleh mematahkan semangat kita. Semuanya bergantung pada diri kita.

2011 telah bermula..

2011, pastinya tahun yang amat mencabar dalam diri aku. Realiti sebenar kehidupan akan bermula. Pasti, jalan di hadapan masih lagi berliku. Semoga aku diberikan kekuatan untuk menempuh semuanya. YA ALLAH, berikan aku kekuatan untuk menghadapi semua yang akan berlaku. Peliharalah aku dari segala jalan kemungkaran-Mu. Semoga aku panjang umur, murah rezeki dan sentiasa berada dalam rahmat Mu.InsyaALLAH..

Wahai hati. Tenanglah......

Tuesday, December 28, 2010

Tertekan

Sedang mengalami tekanan..


Apa yang anda lakukan bila tertekan...


"Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah
Insya Allah you’ll find your way"

InsyaALLAH...
Keep praying...

Friday, November 19, 2010

Pengorbanan & Kehidupan

Salam Aidiladha. Semoga anda semua menikmati Hari Raya Aidiladha dengan penuh kesyukuran. Pengorbanan, harus disertai dengan keikhlasan dan bukannya mengaharapkan balasan.

Pengorbanan dan kehidupan tidak boleh dipisahkan. Dalam kehidupan, tanpa pengorbanan , cita cita tidak akan menjadi kenyataan. Sudah pasti cabaran dan dugaan yang mendatang menuntut banyak pengorbanan. Hanya kesabaran sahajalah yang menjadi ubat yang paling berkesan. Bukankah ALLAH SWT telah menjanjikan kebahagiaan untuk orang-orang yang bersabar???... Yakinlah dengan ALLAH, redhalah dengan apa yang berlaku. Sesunggunya ALLAH bersama orang orang yang bersabar. Peringatan untuk anda dan diri sendiri terutamanya.

Ingatlah, setiap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Tunggu, nikmatilah dan hargailah dahulu apa yang ada. Tidak semestinya apa yang diinginkan itu adalah baik untuk kita. Hanya ALLAH SWT sahaja tahu yang terbaik untuk kita.

Kepada semua yang banyak berkorban untuk diri aku,terima kasih berbanyak banyak. Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberi ganjaran yang setimpal. InsyaALLAH, tidak sekali kali jasa kalian akan dilupakan.

Salam aidiladha.

Regards.